Wednesday, April 29, 2009

Dunia diambang pandemik

Kes Maut "Selesama Babi makin meningkat. Para pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap amaran pandemik atau wabak global ketika jumlah maut kini 152 orang. Kerajaan Mexico menyatakan jumlah kes disyaki H1N1 bertambah kepada 1,614 orang setakat ini. Di ibu kota Mexico yang dihuni 200 juta orang, keadaan semalam sunyi apabila banyak tempat awam termasuk, zoo, muzium, gereja dan restoran ditutup manakala orang ramai memilih untuk tidak keluar rumah.


Di Britain, dua rakyatnya disahkan diserang selesema babi selepas mereka pulang dari percutian bulan madu di bandar peranginan Cancun, Mexico pada minggu ini. Selain Britain, kes selesema babi di Eropah berlaku di Sepanyol namun terdapat beberapa kes disyaki penyakit maut itu sedang dipantau di Jerman dan Austria. Sejumlah 51 orang dijangkiti selesema babi di Amerika Syarikat manakala Kanada pula berdepan dengan enam kes.

Di Asia, pihak berkuasa kesihatan Thai mengasingkan seorang wanita di hospital selepas dia disyaki dijangkiti H1N1 manakala Korea Selatan memantau kes pertama disyakki selesema babi. Di Australia pula, pihak berkuasa negara itu sedang menyiasat 70 kes jangkitan selesema babi yang menyaksikan pesakitnya mengalami simptom demam mengejut, sakit tekak, batuk dan sakit sendi diikuti dengan radang paru-paru.

WHO dalam satu sidang akhbar semalam mendakwa, proses saringan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang tidak berkesan dalam membendung wabak itu. Virus H1N1 ini menular dengan amat pantas, penutupan sempadan atau larangan perjalanan tidak akan berkesan dalam membendung penyebaran selesema babi. Wabak maut itu menular melalui jangkitan antara manusia dengan manusia dan mampu tersebar melalui udara. WHO meningkatkan amaran pandemik daripada tiga pada tahap tertinggi iaitu empat semalam sekali gus membayangkan dunia semakin hampir dilanda wabak selesema babi.


No comments:

Post a Comment